Hari ni gua nak share tentang fadhilat puasa sunat. Gua tau, ramai dikalangan lu orang yang lebih arif dan tahu banyak daripada gua. Tapi saja juga gua post kat sini sbb kebetulan gua bangun awal pagi nak bersahur utk puasa ganti. Gua puasa amik Isnin Khamis. Kata orang, elok dibuat puasa ganti pada Isnin Khamis ni sebab dapat dua pahala, tapi gua tak pasti la betul ke idok?! Tapi gua ingat puasa ganti ni takde pahala, sebaliknya dah wajib kita kena ganti puasa yang kita qadha' dulu akibat keuzuran. Ermm.. maaf andai gua salah. Gua belum pergi jumpa ustazah utk tanya soal ni. Yang penting gua puasa aje la pada Isnin Khamis untuk gantikan puasa gua yg lalu. Tak perlu nak combine2 niat dua puasa semata2 mengejar pahala sbb gua buat tanggungjawab gua sebagai org Islam. Yang penting LillahiTaala.
****
Ibadat puasa adalah ibadah dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). Antara hikmah dan faedah ibadat puasa ialah menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya. Firman Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:183)
Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit". Selain daripada itu, puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:
- Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga
- Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
- Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
- Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
- Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
- Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."
Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan, ada lagi puasa-puasa sunat yang elok dilakukan sepanjang tahun iaitu seperti yang akan disebutkan nanti.
****
Haaa... jadi lu orang nampak kat sini kan, bahawasanya kalo orang yang gemuk atau perut besar tu elok la selalu puasa. Bukan kata puasa tu ingat nak kuruskan badan tapi selain sebagai ibadat, ia membantu kita menghindar daripada mendapat penyakit. Okeh, belum abis lagi...Ni gua share kan fadhilat Puasa Sunat Isnin, Khamis.
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)
Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menajdi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)
Ada lagi... yang berikut ni Puasa Sunat Rabu, Khamis, Jumaat.
Daripada 'Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah s.a.w. mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak (maksudnya tidak dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga telah berbuka." (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)
Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat baginya bebas dari api neraka>" (Riwayat al-Tabrani)
Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak, nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani).
Semoga lepas ni, kita dapatlah sama2 meningkatkan amal ibadat kita dengan berpuasa. Yelah, ada sesetengah orang tak mampu nak duduk bersimpuh lama2 di atas tikar sembahyang bersolat sunat, berwirid, berzikir, bertasbih, bertasmid. Maklumlah, banyak kerja yang nak kena buat tapi kalo dengan berpuasa, Insyaallah kita masih boleh melakukan kerja-kerja lain. Tapi jangan tidak dibuat langsung berzikir, bertasbih tu ye. Lepas solat fardhu pun, lu orang boleh buat sekejap. Okies, gua berhenti di sini. Harap maaf jika ada salah silap.
*Sumber - Fadhilat Puasa Sunat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan