Dia berlari dalam hujan.
Laju. Lebih laju dari sebuah basikal roda tiga sarat dengan muatan yang dikayuh
oleh seorang lelaki penjual bakso. Seperti lelaki itu, dia juga tidak peduli
dengan kebasahan. Dia juga tidak peduli dengan kedinginan. Oh tidak! Sebenarnya
si penjual bakso peduli akan kebasahan. Jangan barang dagangannya tersimbah air
hujan, biar dirinya saja yang lencun.
Dia meningkatkan kadar pecutan.
Terasa jantungnya berdegup kencang, nafasnya mula pendek. Walaupun tiada
kehangatan terik mentari, tenaga yang telah diperah membuatkan dia penat.
Apatah lagi berlari dengan pakaian basah. Berat. Setelah hampir setengah jam
berlari tanpa tujuan, akhirnya dia berhenti di sebuah perhentian teksi. Tiada
siapa-siapa di situ. Lengang. Kosong. Hanya sebuah bangku panjang dan sebuah
tong sampah hijau menjadi penunggu tetap di perhentian teksi yang berbumbungkan
bahan yang dibuat daripada fiber. Dia melepaskan lelahnya di situ. Nafasnya
kencang seiring dengan turun naik pergerakan dada. Mengah. Sebetulnya dia sendiri tidak tahu
mengapa dia berlari. Dia tidak tahu dia lari daripada apa atau siapa. Dia lari
apabila sesuatu yang tidak diketahui menyuruhnya lari. Suatu suara yang berbisik terus ke telinga, berkali-kali.
Belumpun dia dapat bernafas
dengan sempurna, terdengar lagi suara itu berbisik ke telinganya.
“Eh? Kenapa kau berhenti? Lari!
Kan aku suruh lari!”
“Masalahnya, aku ni lari dari
siapa? Lari dari apa? Kau ni pula siapa? Kenapa kau tak wujudkan dari kau?”
“Tak perlu kau tanya aku siapa,
malahan jika aku wujudkan diriku didepan matamu, kau pasti akan takut melihat
aku. Jadi, adalah lebih baik kau boleh mendengar suaraku sahaja berbanding
melihat wujudku”
Dia mula cemas. Apa maksud suara
misteri itu menyatakan dia akan takut jika suara itu mewujudkan dirinya di
pandangan mata kasarnya. Syaitankah? Atau buniankah? Dia keliru.
“Jangan kau fikir tentang aku
sama ada syaitan atau bunian, yang penting aku mahu menolong kau” Suara misteri
itu berbisik lagi.
“Tidak! Aku tidak tahu wujudmu,
tidak tahu siapa kau. Aku tak mahu ikut cakap kau lagi. Macam orang bodoh saja
berlari ditengah hujan”.
Dia mula merasa tidak puas hati. Ya, seperti orang
bodoh dia menjadi perhatian orang yang berteduh di kaki lima kedai, perhentian
bas mahupun yang berpayung. Hanya kerana dia tetap berlari di dalam hujan
walaupun ada tempat untuk dia berteduh.
“Kalau kau tidak lari sekarang,
kau akan menyesal seumur hidupmu. Dan satu perkara lagi yang aku ingin
sampaikan” Suara itu menyambung.
“Jangan kau jadi bodoh hanya
berlari semahu-mahunya. Pergilah naik teksi atau bas. Kalau berlari saja,
minggu depan pun belum tentu sampai”
Mukanya merona merah. Bukan
kerana kepanasan cuaca tetapi kepanasan hati menahan marah dengan kata-kata
suara misteri yang seperti mempermainkannya. Dia bengang!
*bersambung....
2 ulasan:
berlari...tema yg menarik nell
Terima kasih iwan.. Masih berfikirkan sambungan seterusnya. Hehehhe
Catat Ulasan