MsGoodNite ialah

Foto saya
Terengganu/Selangor, Malaysia
Selfish and Arrogant

Khamis, November 01, 2012

Suara



Dia berlari dalam hujan. Laju. Lebih laju dari sebuah basikal roda tiga sarat dengan muatan yang dikayuh oleh seorang lelaki penjual bakso. Seperti lelaki itu, dia juga tidak peduli dengan kebasahan. Dia juga tidak peduli dengan kedinginan. Oh tidak! Sebenarnya si penjual bakso peduli akan kebasahan. Jangan barang dagangannya tersimbah air hujan, biar dirinya saja yang lencun.

Dia meningkatkan kadar pecutan. Terasa jantungnya berdegup kencang, nafasnya mula pendek. Walaupun tiada kehangatan terik mentari, tenaga yang telah diperah membuatkan dia penat. Apatah lagi berlari dengan pakaian basah. Berat. Setelah hampir setengah jam berlari tanpa tujuan, akhirnya dia berhenti di sebuah perhentian teksi. Tiada siapa-siapa di situ. Lengang. Kosong. Hanya sebuah bangku panjang dan sebuah tong sampah hijau menjadi penunggu tetap di perhentian teksi yang berbumbungkan bahan yang dibuat daripada fiber. Dia melepaskan lelahnya di situ. Nafasnya kencang seiring dengan turun naik pergerakan dada. Mengah. Sebetulnya dia sendiri tidak tahu mengapa dia berlari. Dia tidak tahu dia lari daripada apa atau siapa. Dia lari apabila sesuatu yang tidak diketahui menyuruhnya lari. Suatu suara yang berbisik terus ke telinga, berkali-kali.

Belumpun dia dapat bernafas dengan sempurna, terdengar lagi suara itu berbisik ke telinganya.
“Eh? Kenapa kau berhenti? Lari! Kan aku suruh lari!”

“Masalahnya, aku ni lari dari siapa? Lari dari apa? Kau ni pula siapa? Kenapa kau tak wujudkan dari kau?”

“Tak perlu kau tanya aku siapa, malahan jika aku wujudkan diriku didepan matamu, kau pasti akan takut melihat aku. Jadi, adalah lebih baik kau boleh mendengar suaraku sahaja berbanding melihat wujudku”

Dia mula cemas. Apa maksud suara misteri itu menyatakan dia akan takut jika suara itu mewujudkan dirinya di pandangan mata kasarnya. Syaitankah? Atau buniankah? Dia keliru.
“Jangan kau fikir tentang aku sama ada syaitan atau bunian, yang penting aku mahu menolong kau” Suara misteri itu berbisik lagi.

“Tidak! Aku tidak tahu wujudmu, tidak tahu siapa kau. Aku tak mahu ikut cakap kau lagi. Macam orang bodoh saja berlari ditengah hujan”. 

Dia mula merasa tidak puas hati. Ya, seperti orang bodoh dia menjadi perhatian orang yang berteduh di kaki lima kedai, perhentian bas mahupun yang berpayung. Hanya kerana dia tetap berlari di dalam hujan walaupun ada tempat untuk dia berteduh.

“Kalau kau tidak lari sekarang, kau akan menyesal seumur hidupmu. Dan satu perkara lagi yang aku ingin sampaikan” Suara itu menyambung.

“Jangan kau jadi bodoh hanya berlari semahu-mahunya. Pergilah naik teksi atau bas. Kalau berlari saja, minggu depan pun belum tentu sampai” 

Mukanya merona merah. Bukan kerana kepanasan cuaca tetapi kepanasan hati menahan marah dengan kata-kata suara misteri yang seperti mempermainkannya. Dia bengang!



*bersambung....

2 ulasan:

besi berkata...

berlari...tema yg menarik nell

-MsGoodNite- berkata...

Terima kasih iwan.. Masih berfikirkan sambungan seterusnya. Hehehhe