MsGoodNite ialah

Foto saya
Terengganu/Selangor, Malaysia
Selfish and Arrogant

Selasa, Mei 10, 2011

Tentang Dia (Claudia/Jasmine) #1

P/s: Sebenarnya ini bukan idea asal gua. Gua mungkin ciplak tapi dari filem ke tulisan. Dan ia sudah tentu tidak 100% sama sebab gua pun tak sanggup nak tulis semula 100% sama. Ada watak yang gua tukar atas sebab gua lupa, ada beberapa bahagian cerita yg gua tukar dan ringkaskan sedikit jalan ceritanya namun tidak menjejaskan format cerita asal. Gua pilih untuk tulis semula cerita ni sbb sumpah! gua sangat suka cerita ini. Ada pengajaran disebaliknya. Dengan tak malu gua mengaku, gua turut menangis. Tapi kalau lu orang tengok filem, ia lebih "live" dan kelakor.


~ Claudia ~

Kringgggggggggg....Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi. Seorang gadis genit menggeliat malas di dalam selimut berlatarkan warna pink dengan corak bunga dan rama-rama. Di kiri kanannya kelihatan dua patung beruang besar pemberian si papa dan mama. Sayup-sayup kedengaran suara mama meneriak dari luar bilik sambil mengetuk daun pintu memanggil nama anak gadis yang masih membiarkan bunyi jam membingit ditelinga.

"Claudia! Lekas bangun, nanti lambat ke sekolah", nyaring suara mama diluar. Anak gadis bernama Claudia itu bingkas mematikan jam dan terus berbaring di katil sambil menggosok matanya yg berpisat melihat keadaan sekeliling.

"Ya, mama. Claudia dah bangun ni. Nanti mama tolong buatkan koko panas, ya?!", laung Claudia sambil bangun malas dari katil dan menuju ke bilik mandi.

Mama cuma senyum mendengar permintaan anak tunggalnya. Kalau tidak dipinta Claudia pun, pasti itu yang akan dilakukan. Claudia adalah satu-satu anak gadisnya. Dialah madu, dia juga racun. Sejak 16 tahun lalu, mama dan papa menjaga Claudia bagai menatang minyak yang penuh. Apa saja keinginan anak gadis itu pasti akan cuba dipenuhi. Syukur, walaupun Claudia dibesarkan penuh kasih sayang dan kemanjaan, namun dia tidak pernah membuat perkara-perkara yang mengecewakan mama dan papa. Tindakannya tidak pernah memalukan keluarga.

Setengah jam kemudian Claudia keluar dari bilik menuju ke dapur. Kelihatan mama dan papa sudah sedia menunggunya di meja makan untuk sarapan bersama.

"Ma, Claud minum saja ya, hari ni Claudia dah janji dengan Lini dan Olive nak sarapan sama-sama di sekolah".

"Iye ke? Ini mesti ada plan rahsia ni", papa bersuara tanpa menatap wajah anak gadis kesayangannya sebaliknya matanya terus tertumpu kepada bacaan akhbar.

"Mana ada rahsia pa, memang dah janji semalam. Kami nak sarapan sama-sama hari ni. Lagipun, Lini bawa bekal".

"Kalau Lini bawa bekal, kenapa kamu tak bawa bekal sekali? Nanti boleh tukar-tukar dengan Lini dan Olive", sampuk mama sambil tangannya menyapu jem strawberi di atas roti.

"Lini bawa banyak. Dia dah janji. Menu sarapannya hari ni istimewa, ma. Rugi kalau tak rasa!"

"Apa aje yang dibawa Lini tu?"

"Nasi lemak! Hahaha...", balas Claudia sambil mengenyitkan mata kepada mamanya.

"Bertuah betul budak ni, main-main pulak dia. Dah, minum air tu cepat. Dari tadi mama bancuh, dah sejuk agaknya".

Segera Claudia meneguk air koko yang sudah suam didepannya. Selepas mengucup pipi kedua orang tuanya, Claudia segera meninggalkan rumah untuk ke sekolah yang letaknya lebih kurang 2 kilometer dari rumah. Sudah terbiasa dengan berjalan kaki ke sekolah jarak 2 kilometer itu dirasa bagaikan 1/2 kilometer sahaja. Apatah lagi, bukan dia seorang yang berjalan kaki ke sekolah. Olive juga sama. Selalunya mereka akan berjalan bersaing. Cuma Lini yang dihantar ayahnya kerana rumahnya agak jauh dari sekolah.

Claudia seorang anak gadis berusia 16 tahun, cantik dan manis serta periang. Mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan dua orang gadis sebayanya iaitu Arlini dan Olive. Apapun yang dilakukan, pasti bersama. Pendek kata, persahabatan mereka adalah persahabatan sejati. Claudia juga merupakan seorang gadis yang idealistik, sangat percaya bahawa seorang perempuan diciptakan untuk seorang lelaki. Walaupun Lini dan Olive selalu menggalakkannya dia untuk menjalinkan hubungan rapat dengan lelaki di sekolah tetapi Claudia lebih memilih untuk menunggu datangnya cinta yang ditakdirkan untuknya.

*****

"Sedap mama kau masak Lini", Olive memuji sambil tangan terus menyuakan sudu yang berisi nasi lemak ke mulut. Claudia mengangguk mengiakan. Mulutnya penuh berisi. Memang tidak dinafikan nasi lemak yang dimasak oleh ibu Lini enak. Mamanya tidak pernah masak nasi lemak seenak itu.

"Dah! tak payah puji lebih-lebih. Sebelum ni pun, bukan kau orang tak tahu. Mama aku kan memang champion masak nasi lemak". Mereka sama-sama ketawa. Ketawa itu tiba-tiba terhenti bila mata Claudia tertancap pada seorang pelajar senior.

"Korang tau tak? Setiap insan di dunia ini diciptakan pasangannya", ayat pertama yang keluar dari mulut Claudia sebaik melihat jejaka itu. Sebelum ini dia tidak pernah ambil peduli dengan pelajar-pelajar lelaki yang meminatinya. Hingga saat itu, dia merasakan satu perasaan aneh apatah lagi si jejaka turut memerhatikannya dengan senyuman.

"Oh! Claud sudah jatuh cinta gayanya". Bising mulut Olive.

"Kau suka dia ehh? Ini satu perkembangan yang sihat! hahaha", sambung Lini pula.

"Siapa nama dia? Aku jarang lihat dia di sekolah. Tapi dia cute, kan?"

"Itu senior kita, orangnya memang pendiam. Toddy namanya. Kau nak kenal, aku boleh aturkan", tenang Olive bersuara.

"Ah! jangan. Aku tak mahu dikata perigi mencari timba. Biar aku meminati dalam diam. Itu lebih baik dari terhegeh-hegeh kalau dia tidak sukakan aku".

"Kau masih berfikiran kolot seperti itu, Claudia? Sudahlah. Peribahasa itu sudah tidak relevan lagi digunakan pada zaman ni. Kalau kau lambat, kau melepas", balas Lini.

Claudia hanya mendiamkan diri. Tetapi matanya sesekali melirik ke arah Toddy yang jelas sekali melihat ke arahnya. Claudia jadi tidak keruan. Dia malu dipandang begitu tapi jauh disudut hatinya, sudah berputik bibit-bibit perasaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Satu perasaan indah.

*****

"Kenapa Cikgu Sara nak jumpa kita di sini?", soal Claudia kepada dua sahabatnya. Selepas waktu rehat Lini memberitahunya bahawa Cikgu Sara, guru Fizik mahu berjumpa mereka di Bilik Kesihatan. Alasannya tidak pula diketahui.

"Aku pun tak tahu. Dapat pesanan dari Hassan kelas sebelah", jawab Lini sambil mengenyit mata kepada Olive. Pasti ada komplot antara mereka tanpa pengetahuan Claudia.

Tiba-tiba pintu bilik itu dikuak. Kelihatan Toddy di muka pintu tersenyum ke arah tiga anak gadis itu. Nah! Itu agendanya.

"Toddy nak jumpa kau. Kami tunggu di luar ye. Impian jadi kenyataan, kan?!", bisik Olive sambil melangkah keluar dari bilik itu bersama Lini. Kini tinggal Claudia yang kaget. Namun dia cuba untuk mengawal perasaannya.

"Aku Toddy. Kamu Claudia, kan?", sapa Toddy sebaik menghampiri Claudia sambil menghulur tangan.

"Ya, kenapa kamu nak jumpa aku di sini?". Claudia menyambut tangan Toddy.

"Aku tengok kamu seperti malu di depan kawan-kawan. Jadi aku fikir, lebih baik aku jumpa kamu di sini. Aku mahu jadi kawan kamu. Boleh?"

Sepi. Claudia jadi tidak keruan. Sebenarnya dia mahu mengatakan ya, tapi lidahnya kelu. Akhirnya hanya senyuman dan anggukan kepala yang memberi jawapan. Toddy tersenyum lebar. Baru saja dia mahu bersuara lagi muncul Olive di muka pintu.

"Sudah la tu, dah lama ni. Nanti kantoi pulak!"

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

~ Jasmine ~

"Wah! Tak sangka akhirnya kau yang akan menikah dulu padahal aku yang bertunang", Alyssa menyuarakan keterujaannya kepada sahabatnya yang akan menamatkan zaman bujangnya sebentar lagi. Menemani pengantin yang juga sahabat bernama Sandra bersama seorang lagi sahabat bernama Jasmine sudah cukup mengundang keriuhan di kamar pengantin.

"Aku pernah beritahu pada korang sebelum ni, kan? Andainya Andy melamar, aku akan terus terima. Aku sudah yakin benar dengan perasaan kami berdua. Lagipun aku memang dah tak sabar lagi nak hidup sebagai isteri ni", jawab Sandra dengan senyum lebar.

"Tepat sekali. Kau memang harus terima lamaran Andy. Bercinta sudah 6 tahun, wajarnya kau menikah sekarang", Jasmine bersuara.

"Memang, tapi kalau tunggu kau entah bila pula agaknya", Alyssa memulangkan paku buah keras kepada Jasmine. Mereka ketawa bersama. Kata-kata Alyssa tidak sedikitpun mengguris perasaan Jasmine kerana dia tahu sahabat-sahabatnya itu lebih memahami kenapa sehingga usia yang menginjak ke angka 30 tahun, dia masih belum mempunyai teman lelaki. Bukan tidak pernah diperkenalkan dengan lelaki tetapi ditolak mentah-mentah oleh Jasmine. Dia lebih rela menutup hatinya dari didekati oleh lelaki dan memilih untuk hidup sendiri. Tiada yang kurang tentang Jasmine. Orangnya cantik juga manis, berdikari tetapi skeptikal terhadap cinta.

Selesai acara pernikahan Sandra dan Andy, masing-masing menemui tetamu yang hadir. Sandra kembali berbual bersama Jasmine dan Alyssa yang ditemani tunangnya Hakim. Majlis jamuan secara koktel ini memberikan keselesaan kepada para tetamu tanpa perlu terlalu formal menikmati juada yang disediakan.

"Berbual topik apa ni?", soal Sandra sebaik saja bersama dengan dua sahabatnya itu.

"Aku sedang berkira-kira untuk pasangkan Jasmine dengan Jerry. Bagus juga Jerry datang ke majlis kau ni", kata Alyssa.

Jasmine mengerut dahi. Hairan kerana bukan itu yang mereka bualkan. Hakim hanya tersenyum lalu meminta diri untuk bersama dengan tetamu yang lain. Baginya, jika Alyssa sudah menimbulkan soal pasangan untuk Jasmine, itu bukan urusannya untuk turut mendengar.

"Jerry memang padan dengan kau, Jas. Dia bujang, kacak, bekerjaya bagus. Sesuai buat kau", Alyssa melahirkan pendapatnya lalu menunjukkan kepada Jasmine siapa jerry yang dimaksudkan.

"Aku setuju. Sebenarnya, memang dari dulu lagi aku terfikir mahu kenalkan kau dengan dia tapi belum ada waktu yang sesuai. Nah! sekaranglah waktunya, kan?!", Sandra menambah sambil tangannya menggamit ke arah Jerry yang kebetulan memandang ke arah mereka.

Jasmine pernah lihat lelaki itu ketika menemui Sandra di pejabatnya. Kata Sandra, Jerry adalah salah seorang kliennya. Tidak pula dia menyangka Alyssa juga mengenali lelaki bernama Jerry itu.

"Tahniah, Sandra", ucapan pertama yang keluar dari mulut Jerry ketika berada dikelompok tiga wanita itu sambil berjabat tangan. Namun matanya tertancap kepada Jasmine yang berdiri disebelah Sandra. Jerry menguntum senyum.

"Ini Jasmine, sahabat aku. Kenalkan", Sandra bersuara. "Yang itu pasti kau dah kenalkan?", Alyssa yang dimaksudkan Sandra.

"Iya, aku Jerry", Jerry menghulur tangan lalu disambut oleh Jasmine bersama senyuman manis.

"Jasmine ini single lagi tau! hahaha...", sampuk Alyssa. Dia memang begitu, selalu cakap lepas. Jasmine menyiku Alyssa. Perlakuan Jasmine dan Alyssa diperhatikan Sandra dan Jerry dengan senyuman.

"Sorry, Jerry. Kau jangan ambil hati dengan sahabat-sahabat aku ni. Mereka memang macam ni. Tapi jujur, memang Jasmine masih single".

"Oh! kalau begitu, pasti aku ada peluang untuk dekat dengan Jasmine, kan? aku juga single", jawab Jerry. Mereka sama-sama ketawa. Jasmine tersipu. Sebelum masing-masing beredar, Jerry dan Jasmine sempat bertukar nombor telefon. Itupun selepas di'hint' oleh Sandra dan Alyssa.

"Nanti jangan lupa telefon, ya Jerry", pesan Alyssa tanpa segan. Jerry mengangguk.

*****

"Mama...mama? Jasmine dah balik ni". Jasmine terus ke dapur mencari mama setelah bayang mamanya tidak kelihatan di luar tamu. Papa memang tiada di rumah kerana menghadiri kursus jabatanna selama tiga hari di luar kota. Sejenak itu dia terhidu bau harum dari ruang dapur. Ternyata mamanya memeng di dapur, menyiapkan sebiji kek untuk minum petang.

"Mama ni, Jasmine panggil dari tadi mama tak jawab. Jasmine ingat mama takde".

Mama memerhatikan Jasmine dari atas ke bawah. Dia kelihatan hairan melihat anaknya memakai busana yang indah, gaya seperti pengantin lagaknya.

"Kamu dari mana Jasmine? Kenapa kamu berpakaian seperti ini? Apa kamu lakukan sesuatu tanpa pengetahuan mama?", mama mula marah-marah.

"Kenapa mama ni? Jasmine dari majlis kahwin Sandra. Mama lupa? Hari ni kan Sandra menikah. Jasmine jadi pengapit Sandra"

"Iye ke? Atau kamu bohong mama?"

"Betul ma, kenapa Jasmine perlu bohong. Tak percaya, mama telefon je Sandra atau Alyssa", Jasmine mula menarik muka. Sedih apabila mamanya curiga pada dia sedangkan awal-awal lagi dia sudah maklumkan pada mamanya tentang perkara itu.

"Iyelah. Maafkan mama. Mama lupa. Mama cuma tak mahu kamu buat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan papa dan mama".

"Takkanlah macam tu, ma. Jasminekan satu-satunya anak mama dan papa. Mesti Jasmine takkan belakangkan mama dan papa". Dua beranak itu berpelukan. Sesungguhnya hubungan ibu dan anak ini memang akrab tetapi jasmine lebih manja dengan papanya. Segala masalah lebih suka dikongsi kepada papa. Namun mama tidak pernah dilupakan.

*****

"Jasmine, malam nanti kamu keluar dengan Reza ye, anak kawan mama yang baru balik dari US. Mama pernah bercerita tentang kamu pada dia dan dia teringin sekali berkenalan dengan kamu. Boleh, ya sayang?", kata mama sewaktu minum petang.

"Aduh! mama. Asyik-asyik nak kenalkan Jasmine pada lelaki. Mama tahukan, Jasmine boleh cari sendiri", tolak Jasmine. Ini juga bukan kali pertama mamanya mahu memperkenalkan dia dengan anak dari kawan-kawan mamanya. Tetapi satu pun tidak menarik perhatian Jasmine. Malahan, dia menggunakan pelbagai helah untuk menjadikan pertemuan pertama tiada pertemuan kedua dan seterusnya.

"Tak ada salahnya, jumpa dulu. Lagipun Reza itu baik budaknya. Mama dah jumpa dia dua kali. Mama suka kalau Jasmine suka. Ikut cakap mama, ya sayang. Keluar dengan dia malam ni. Kalau kamu tak berkenan, takpe. Mama tak marah", pujuk mama lagi. Jasmine hanya mengangguk. Kalau dibantah sekalipun tetap mamanya berkeras. Lagipun apa salahnya dia keluar berjumpa lelaki bernama Reza itu. Mana tahu kali ini hatinya akan cair.

*****

"Kami jalan dulu ya, makcik. Saya janji sebelum jam 12 saya hantar Jasmine balik". Lelaki bernama Reza itu bersuara. Mama mengangguk seraya sempat berbisik kepada Jasmine agar cuba bersikap ramah dengan Reza. Jasmine sekadar tersenyum.

'Boleh tahan juga Reza ni. Baiklah, aku akan cuba dekat dengan dia. Kenal dia lebih rapat'. Jasmine bermonolog sendiri.

"Lepas makan, aku nak ajak kamu ke satu tempat", Reza memecah kesunyian waktu makan malam itu. Mereka berdua menikmati makan malam di sebuah restoran yang rata-rata pengunjungnya adalah berpasangan seperti mereka. Banyak perkara yang dibualkan, cuma yang lebih banyak bersuara itu Reza dan bukan Jasmine. Dia sekadar menjadi pendengar dan sesekali mencelah.

"Oh! ya? Kita nak ke mana?"

"Satu tempat yang aku tidak pernah sekalipun gagal hadir setiap minggu". Walaupun dalam hatinya timbul perasaan kurang enak, tetapi Jasmine tetap bersetuju. Dia mahu lihat sebagaimana orangnya lelaki yang bernama Reza ini.

*****

"Kamu selalu ke sini?", soal Jasmine kepada Reza apabila mereka sampai di depan sebuah gereja.

"Ya. Sejak aku balik ke sini, aku belum pernah gagal untuk tidak hadir ke sini setiap minggu. Bahkan sewaktu aku di US, aku juga aktif dengan aktiviti gereja di kawasan aku tinggal. Di sinilah tempatnya untuk aku luah perasaan dan keinginan. Mari!"

Mereka berdua masuk ke dalam gereja dan mengambil tempat di depan patung Jesus.

"Jasmine, aku nak kamu lakukan seperti apa yang aku lakukan. Ia adalah sebagai salah satu cara kita mensyukuri peluang yang diberi kepada kita", pinta Reza sambil berlutut di tempat khas lalu memejamkan matanya. Tangan kanannya disilangkan dengan tapak tangan dirapatkan ke dada kiri. Jasmine menurut.

"Wahai Tuhan! Terima kasih kerana pertemuan yang dirancang ini. Sesungguhnya inilah yang kami nanti-nantikan. Pertemuan dan hidup bersama. Kebahagiaan. Demi Tuhan! Tolong butakan mata kami, agar kami tidak melihat lelaki dan perempuan lain selain pasangan kami ini. Kelukan lidah kami, agar kami tidak bercakap ayat-ayat manis kepada lelaki dan perempuan lain selain pasangan kami ini. Kudungkan tangan kami, agar kami tidak menyentuh lelaki dan perempuan lain selain pasangan kami ini. Kudungkan kaki kami, agar kami tidak melangkah dan mendekati lelaki dan perempuan lain selain pasangan kami", Reza tiba-tiba berdoa dengan suara yang kuat.

Jasmine kaget dengan tindakan Reza. Masakan berdoa diminta buta, bisu dan kudung. Jasmine merasakan Reza seorang lelaki yang pelik atau mungkin gila lantas tanpa disedari Reza, Jasmine perlahan-lahan beredar dari situ.

*bersambung





5 ulasan:

- GC - berkata...

woi, panjang gila entri nih. senang2 gua baca okeh. hahaha

-MsGoodNite- berkata...

Time gua tluis pendek, org komplen. Time gua tulis panjang, lu komplen..hahahah
takpe2.. lepas ni sambungan dia gua buat pendek2... :)

Jiejah Gorjes berkata...

weiiiiiiii apa pasal plak ada sambung2 ni ko ni la terpengaruh sinetron la ni sket2 sambung mencik arrr potong stim tol kui3

-MsGoodNite- berkata...

panjang2 sgt nnt org malas nk baca... ko pun mesti malas, kan jiejah..? hahaha..
ada 2-3 eisod jer... aku akan cuba buat seringkas mungkin :)

-MsGoodNite- berkata...

jiejah - dah citer dia panjang. kang wat sekaligus, pening lak ko nak baca. Lagipun, aku nak galakkan budaya membaca ni, supaya ko rajin baca entry aku.. huahaha